KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengenal pasti calon bagi pilihan raya lebih awal bagi memastikan persiapan yang rapi dapat dilakukan.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ini kerana parti itu dalam kedudukan yang kalah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu meskipun berada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Parti UMNO ini unik sikit, kalau hendak pilih calon bertanding kadang-kadang dua hari lagi nak hari penamaan calon, baru beritahu orang.

"Hari ini kita duduk dalam kedudukan kalah, kalau kita boleh kenal pasti calon nak bertanding, kita letak mereka dan beritahu mereka dalam tempoh empat setengah tahun, setiap tahun akan kita buat review performance," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Naib Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Tambah Johari, sekiranya calon terbabit tidak menunjukkan prestasi yang baik, justeru tindakan menggantikannya dengan calon baharu boleh dilakukan.

"Kalau dia tak perform dalam masa setahun, kita boleh cari calon lain. Yang penting kita kenal pasti dulu," katanya lagi.

Mengulas mengenai kerusi selamat, ujar Johari lagi, tiada ertinya kerusi selamat buat UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ujarnya, cara untuk menjadikan kerusi itu selamat, adalah dengan UMNO memenangi kerusi berkenaan.

"Bahawa dalam pertandingan pilihan raya ini tidak ada kerusi selamat, Parlimen pun tiada kerusi selamat macam kita selalu sebut tiada kerusi selamat.

"Semua kerusi ini tidak selamat. Kalau nak selamatkan kerusi itu kitalah yang menyelamatkan kerusi itu," jelasnya.